Kedudukan wanita dalam Islam telah menjadi satu isu perdebatan sejak 
 kebelakangan ini. Timbul beberapa salah faham, sama ada daripada  
amalan-amalan tradisi yang dianggap ‘Islamik’, tetapi sebenarnya tidak, 
ataupun melalui pelbagai prejudis. Namun demikian, isu  sebenarnya 
adalah bagaimana wanita dilayan dalam kepercayaan Islam, dan  apabila 
kita meneliti perkara ini, kita dapati bahawa Islam memberi  nilai 
sosial, kebebasan dan keselesaan yang tinggi terhadap wanita.
WANITA DALAM AL-QURAN
Perintah-perintah
 Tuhan berkenaan status wanita dan hubungan di antara  lelaki dan wanita
 yang telah dinyatakan kepada kita melalui Al-Quran,  merangkumi 
keadilan yang menyeluruh. Berhubung dengan perkara ini, Islam 
menganjurkan kesamaan hak, tanggungjawab dan kewajipan di antara  
kedua-dua jantina. Islam adalah berlandaskan simpati, toleransi dan  
hormat-menghormati sesama manusia, dan dalam hal ini tidak  
mendiskriminasi wanita.
Contoh-contoh budi pekerti yang  
disampaikan kepada kita dalam Al-Quran secara keseluruhannya bersesuaian
 dengan sifat semulajadi manusia, dan sesuai untuk semua pentas sejarah.
Penghormatan
 terhadap wanita dan hak-hak wanita juga berlaku dalam  lingkungan ini. 
Dalam Al-Quran, Allah menegaskan bahawa semua tugas dan  tanggungjawab 
wanita adalah sama seperti lelaki. Malah, lelaki dan  wanita harus 
saling bantu-membantu dalam menunaikan pekerjaan dan  tanggungjawab 
masing-masing:
Dan orang-orang yang beriman,  lelaki dan 
perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; 
mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat  
kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta  
taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh  
Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.(Surah  
At-Taubah, ayat 71)
Allah menekankan bahawa golongan yang beriman akan diberi balasan yang sama berdasarkan amalan mereka, tanpa mengira jantina.
Maka
 Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya):  "Sesungguhnya 
Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal  dari kalangan 
kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah  kamu (adalah 
keturunan) dari setengahnya yang lain; ... (Surah  Al-‘Imran, ayat 195)
Sesiapa
 yang beramal soleh, dari lelaki  atau perempuan, sedang ia beriman, 
maka sesungguhnya Kami akan  menghidupkan dia dengan kehidupan yang 
baik; dan sesungguhnya kami akan  membalas mereka, dengan memberikan 
pahala yang lebih dari apa yang  mereka telah kerjakan.(Surah An-Nahl, 
ayat 97)
Dalam satu ayat  yang lain, lelaki dan wanita 
Muslim dianggap setara, dan ditegaskan  bahawa kedua-duanya mempunyai 
kewajipan dan status yang sama di hadapan  Allah:
Sesungguhnya
 orang-orang lelaki yang Islam serta  orang-orang perempuan yang Islam, 
dan orang-orang lelaki yang beriman  serta orang-orang perempuan yang 
beriman, dan orang-orang lelaki yang  taat serta orang-orang perempuan 
yang taat, dan orang-orang lelaki yang  benar serta orang-orang 
perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki  yang sabar serta 
orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang  lelaki yang merendah 
diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan  yang merendah diri 
(kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang  bersedekah serta 
orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang  lelaki yang 
berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan  orang-orang 
lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang  perempuan yang 
memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang  menyebut nama 
Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang  menyebut nama 
Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka  semuanya 
keampunan dan pahala yang besar.(Surah Al-Ahzaab, ayat 35)
Ada
 banyak lagi ayat dalam Al-Quran yang menyatakan lelaki dan wanita  
adalah sama dari sudut tugas dan kewajipan mereka, serta pahala dan  
seksaannya. Terdapat beberapa perbezaan kecil dalam isu-isu sosial,  
namun ianya untuk keselesaan dan perlindungan untuk wanita sendiri.  
Perintah-perintah dalam Al-Quran turut memberi perhatian terhadap  
perbezaan kongenital di antara kedua-dua jantina hasil penciptaan  
mereka, serta menganjurkan satu sistem yang mengekalkan keadilan untuk  
lelaki dan wanita.
Islam tidak melihat wanita sebagai 
objek.  Maka, ianya tidak bersesuaian untuk seorang wanita yang baik 
mengahwini  lelaki yang buruk akhlaknya. Begitu juga sebaliknya, seorang
 wanita yang buruk tingkah lakunya tidak diperkenankan untuk mengahwini 
lelaki yang  baik pekertinya:
(Lazimnya) 
perempuan-perempuan yang jahat  adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, 
dan lelaki-lelaki yang jahat  untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan 
(sebaliknya)  perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang 
baik, dan  lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. 
Mereka  (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang 
dikatakan oleh  orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan 
beroleh  pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia. (Surah 
An-Nur, ayat 26)
Berkenaan perkahwinan pula, semua tugas 
dan tanggungjawab  sesebuah pasangan memerlukan kesamaan. Allah 
memerintahkan bahawa  kedua-dua suami isteri adalah pelindung dan 
penjaga di antara satu sama  lain. Tugas ini diungkapkan dalam Al-Quran 
melalui ayat berikut:
... Isteri-isteri kamu itu adalah 
sebagai pakaian bagi kamu dan kamu  pula sebagai pakaian bagi mereka. 
...(Surah Al-Baqarah, ayat 187)
Banyak aturan dan perintah
 terdapat dalam Al-Quran berkenaan  perlindungan hak-hak wanita dalam 
pernikahan. Perkahwinan adalah  berdasarkan persetujuan daripada 
kedua-dua pihak; suami perlu  menyediakan sokongan ekonomi untuk 
isterinya (Surah An-Nisaa’, ayat 4);  suami juga perlu mengambil berat 
bekas isterinya selepas bercerai (Surah At-Talaaq, ayat 6).
EMANSIPASI WANITA MENURUT ISLAM
Sepertimana
 yang diterangkan dalam ayat-ayat tersebut, Islam membawa  keadilan 
dalam hubungan lelaki-wanita dan menamatkan amalan-amalan  memudaratkan 
yang timbul daripada pelbagai adat dan tradisi  masyarakat-masyarakat 
sebelum kedatangan Islam. Satu contoh ialah  situasi wanita dalam 
komuniti Arab sebelum kedatangan Islam. Masyarakat  Arab pagan melihat 
wanita sebagai golongan yang rendah, dan mempunyai  anak perempuan 
adalah sesuatu yang memalukan. Bapa-bapa yang mempunyai  anak perempuan 
lebih sanggup menanam mereka hidup-hidup daripada  mengumumkan 
kelahirannya. Melalui Al-Quran, Allah menegah tradisi jahat  ini dan 
mengingatkan bahawa golongan sedemikian pasti akan diminta  
bertanggungjawab atas tindakan mereka pada Hari Pengadilan.
Hakikatnya,
 Islam membawa bersamanya emansipasi yang besar untuk wanita, golongan 
yang teruk dianiayai dalam era pagan. Profesor Bernard Lewis,  dikenali 
sebagai antara pakar terhebat Barat berkenaan sejarah Islam dan Timur 
Tengah, membuat komentar berikut:
Secara umumnya,  
ketibaan Islam telah membawa satu pembaikan yang besar terhadap posisi  
wanita dalam masyarakat Arab purba, merahmati mereka dengan harta benda 
 dan hak-hak lainnya, serta memberi satu cara perlindungan daripada  
penganiayaan para suami dan pemilik mereka. Pembunuhan bayi-bayi  
perempuan, yang diluluskan dalam adat masyarakat pagan Arab, telah  
diharamkan oleh Islam. Namun kedudukan wanita masih rendah, dan menjadi 
 lebih teruk apabila, dalam hal ini dan banyak perkara lainnya, ajaran  
sebenar Islam hilang rangsangannya dan telah diubahsuai mengikut  
pengaruh gaya dan adat yang wujud sebelumkedatangan Islam. 1
Karen Armstrong, seorang lagi pakar Barat tentang Islam, memberi kenyataan berikut:
Kita
 harus ingat suasana hidup wanita semasa zaman pra-Islam di mana  
pembunuhan bayi perempuan merupakan satu kebiasaan dan wanita langsung  
tidak mempunyai hak. Seperti hamba, wanita dilayan sebagai satu spesis  
bawahan yang tidak mempunyai cara hidup yang sah. Dalam dunia kuno  
sedemikian, apa yang dicapai oleh Muhammad untuk wanita adalah sesuatu  
 yang luar biasa. Gagasan bahawa seseorang wanita boleh menjadi saksi  
atau boleh mewarisi apa sahaja berlandaskan haknya adalah amat  
menakjubkan. 2
Hakikatnya, semasa beberapa kurun selepas 
Nabi  Muhammad, wanita dalam masyarakat Islam memiliki kedudukan sosial 
yang  lebih tinggi berbanding dengan golongan wanita Kristian. Karen 
Armstrong menegaskan bahawa semasa Zaman Pertengahan:
... 
golongan  Muslim terperanjat melihat cara masyarakat Kristian di Barat 
melayan  golongan wanita mereka dalam wilayah-wilayah Salibiah, dan para
 sarjana  Kristian mengecam Islam kerana memberi terlalu banyak kuasa 
kepada  golongan bawahan seperti hamba dan wanita. 3
Anna 
King, seorang wanita Muslim moden dan seorang mualaf - atau, lebih baik 
dikatakan,  seorang yang kembali kepada asal - kepada Islam, menerangkan
 emansipasi  wanita dari perspektif Islamik sebagai berikut:
Islamlah
 yang  mula-mula memberi hak-hak wanita di saat mereka sekadar harta 
milikan  lelaki. Islam memberi wanita hak untuk membeli dan menjual 
sendiri,  memiliki perniagaan dan menyatakan pandangannya secara 
politik. Semua  ini merupakan hak-hak asas yang tidak diberikan kepada 
wanita Amerika  sehingga baru-baru ini! İa juga menggalakkan wanita 
untuk mengkaji dan  mempelajari pengetahuan Islam, membuka sekatan yang 
disyaratkan oleh  sesetengah agama, yang melarang wanita untuk mendapat 
sebarang ilmu  keagamaan atau menyentuh kitab-kitab agama. Islam juga 
telah membasmi  amalan mengahwini wanita secara paksa. Maka, seseorang 
itu tentunya  seorang yang keras kepala untuk  menolak fakta dan bukti 
nyata  sedemikian bahawa Islam merupakan pembebas wanita pertama.
Kecenderungan
 untuk melihat wanita sebagai "satu spesis bawahan" yang  tidak 
mempunyai hak untuk pendidikan dan perlu dipencilkan daripada  
masyarakat muncul beberapa lama kemudian dalam dunia Islam akibat  
penyimpangan daripada jalan Quranik sebenar.
KESIMPULAN
Justeru
 itu dapat kita katakan bahawa pemikiran yang menghina wanita,  
menyisihkan mereka daripada kelompok masyarakat dan menganggap mereka  
sebagai warga kelas kedua merupakan satu sikap keji pagan yang tidak  
mempunyai tempat dalam Islam.
Hakikatnya, wanita yang taat
  dipilih sebagai teladan bagi manusia di dalam Al-Quran. Satu 
daripadanya ialah Maryam, ibu kepada Yesus Kristus sendiri. Seorang lagi
 ialah  isteri kepada Firaun Mesir yang, meskipun suaminya seorang yang 
zalim,  juga dinyatakan sebagai seorang Muslimah yang ideal. (Surah 
At-Tahrim,  ayat 11-12) Al-Quran juga merakamkan beberapa perbualan di 
antara Nabi  Sulaiman dan Puteri Saba’ (Surah An-Naml, ayat 42-44), dan 
di antara  Nabi Musa dengan dua orang gadis (Surah Al-Qasas, ayat 
23-26), yang  melambangkan hubungan sosial penuh tamadun di antara 
kedua-dua jantina.
Justeru itu, adalah mustahil untuk 
seorang Muslim mempunyai pendekatan  yang sempit terhadap wanita. Di 
dalam satu masyarakat di mana nilai  moral Islam sebenar diamalkan, rasa
 hormat dan simpati yang tinggi akan  ditunjukkan terhadap wanita, dan 
akan dipastikan mereka dapat hidup  dalam kebebasan dan keselesaan.
Aturan
 asas dalam takwil  Quranik adalah memastikan bahawa makna yang dipilih 
bersesuaian dengan  integriti Al-Quran. Apabila perkara ini diberi 
perhatian, didapati  bahawa semua aturan berkenaan wanita yang 
diberitakan oleh Allah kepada  kita membentuk satu struktur sosial yang 
membenarkan mereka hidup dalam  cara yang paling selesa dan gembira. 
Dalam satu masyarakat di mana semua nilai moral yang diajar oleh Islam 
diamalkan secara menyeluruh,  kedudukan sosial wanita menjadi lebih 
mulia berbanding dengan banyak  masyarakat pada masa kini yang kita 
anggap moden.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar